Tahun lalu, Google dilaporkan sedang membangunkan ciri perkongsian aplikasi dengan menggunakan Nearby Share pada Google Play Store. Terkini, fungsi tersebut secara rasmi sudah boleh digunakan pada semua peranti Android.
Menerusi ciri ini, ia membolehkan perkongsian aplikasi antara peranti Android dengan menggunakan Nearby Share. Menariknya, anda juga tidak perlu menggunakan data internet atau Wi-Fi untuk berkongsi aplikasi melalui Nearby Share.
Perlu diketahui, untuk menggunakan perkongsian ini, anda perlu membenarkan akses lokasi kepada Google Play. Setelah itu, ikuti beberapa langkah di bawah untuk mula berkongsi aplikasi menggunakan Nearby Share.
Cara kongsi aplikasi guna Nearby Share
Untuk berkongsi aplikasi menggunakan Nearby Share, perlu mempunyai dua peranti iaitu penghantar dan penerima. Berikut adalah langkah yang diperlukan.
Penghantar
1. Pertamanya, buka aplikasi Google Play pada kedua-dua peranti Android penerima dan penghantar.
2. Kemudian, pilih “My apps & games” di bahagian menu.
3. Setelah itu, pergi ke tab “Share” dan tekan “Send” untuk menghantar aplikasi yang telah dimuat turun. Seterusnya, tekan “Continue”.
4. Di langkah seterusnya, penghantar perlu menandakan aplikasi yang ingin dihantar. Perlu diketahui, tidak semua aplikasi boleh dihantar melalui Nearby Share.
Setelah selesai memilih aplikasi, tekan pada ikon hantar serta cari dan pilih peranti yang akan menerima aplikasi tersebut.
5. Tunggu sehingga “Pairing code” diterima sebelum aplikasi dihantar.
Penerima
1. Bagi penerima, ulang langkah 1 hingga 3 di atas. Di bahagian tab “Share”, tekan pada “Receive” dan “Continue”.
2. Aktifkan lokasi untuk meneruskan langkah seterusnya dan tunggu sehingga penghantar menghantar aplikasi.
3. Kemudian tekan “Receive” atau “Accept” apabila menerima “Pairing code”. Setelah menerima aplikasi, tekan pada butang “Install” bagi setiap aplikasi atau “Install All” untuk memasang semua aplikasi yang diterima.
Setelah selesai berkongsi aplikasi, tekan “Disconnect” untuk nyahaktifkan Nearby Share.
Dengan perkongsian aplikasi melalui Nearby Share, ianya adalah lebih pantas berbanding muat turun secara terus di Google Play menggunakan internet.
Itu sahaja tips pada kali ini, semoga bermanfaat.