Canon Malaysia hari ini telah melancarkan dua pencetak foto profesional A3+ baharu – imagePROGRAF PRO-300 dan PIXMA PRO-200. Pencetak ini menyokong pelbagai jenis dan saiz media yang sesuai buat jurugambar dan pereka grafik profesional.
Pencetak PRO-300 dikuasakan pemproses Canon L-COA PRO yang mana mampu menghasilkan cetakan berkualiti tinggi dalam masa kurang 5 minit.
Ia juga dilengkapi sistem 10 dakwat LUCIA PRO untuk penghasilan cetakan yang konsisten bagi pelbagai jenis media.
Sementara PIXMA PRO-200 pula hadir dengan konfigurasi 8 dakwat dan mampu menyiapkan cetakan dalam masa hanya 90 saat.
Selain itu, kedua-dua pencetak ini juga mempunyai paparan LCD warna berukuran 3 inci untuk memudahkan pemasangan, memberi akses pantas kepada tetapan dan memantau paras dakwat.
Dalam pada itu, Canon juga mengeluarkan media baharu – Premium Fine Art Rough (FA-RG1) yang direka khas untuk dicetak pada kedua-dua pencetak ini.
Pencetak profesional ini tersedia pada 8 Februari dan dijual dengan harga RM1620 bagi PIXMA PRO-200 dan RM2700 bagi imagePROGRAF PRO-300.