Satu mesyuarat penyelarasan cadangan Akta Anti Buli Siber bagi membentangkan perkembangan terkini berkenaan kajian undang-undang berkaitan anti buli siber di Malaysia yang dijalankan oleh pihak Multimedia University (MMU) telah diadakan semalam.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Hasil awal soal selidik berkaitan buli siber yang dijalankan oleh MMU sejak Julai lalu mendapati 89 peratus pengamal undang-undang mahu buli siber dikategorikan sebagai kesalahan jenayah.

Soal selidik yang melibatkan 1,822 responden itu juga menunjukkan, 89.3 peratus responden dari orang awam berpendapat perlunya diwujudkan satu akta baharu yang khas untuk buli siber sahaja.

Sebelum ini telah dilaporkan Universiti Multimedia (MMU) dan KKMM sedang menjalankan kaji selidik terhadap masalah buli siber.

Orang ramai dijemput untuk turut serta dalam kajian itu dengan menjawab dalam borang soal selidik yang disediakan oleh PP MMU di atas talian.

Laporan akhir berkenaan kajian ini dijangka siap pada lewat Januari 2021 nanti.

Sumber: Bernama