Seperti biasa yang kita tahu, sebelum sesuatu produk atau peranti baharu dilancarkan, pasti akan ada banyak spekulasi serta maklumat yang dibocorkan mengenainya.

Terbaru, seorang blogger dikenakan denda sebanyak 1 juta yuan (~RM640 ribu) kerana memuat naik video nyahkotak (unboxing) telefon pintar Xiaomi Mi 10 Ultra pada 11 Ogos 2020.

Denda yang dikenakan terhadap @BeautifulTechnology itu adalah disebabkan pelanggaran perjanjian (non-disclosure agreement) dengan pihak Xiaomi.

Dalam satu surat yang dikongsikan ketua penerbit laman itu, beliau akur atas hukuman yang diterima dan meminta maaf kepada Xiaomi. Tambahan lagi, denda itu juga perlu dibayar dalam tempoh 30 hari serta pihak mahkamah meminta untuk melakukan permohonan maaf secara terbuka.

Pun begitu, sebenarnya perkara itu terjadi adalah dengan tidak sengaja. Katanya, ibu beliau telah post video tersebut dari komputernya ke kumpulan dalam aplikasi QQ memandangkan mereka berkongsi komputer yang sama.

Selain itu, ibunya turut tidak tahu bahawa anaknya terikat dengan perjanjian bersama Xiaomi.

Buat pengetahuan, Mi 10 Ultra adalah antara peranti paling berkuasa dari Xiaomi pada ketika itu.

Ia dikuasakan cip Snapdragon 865, pilihan memori hingga 16GB RAM serta storan hingga 512GB, kuad kamera dan paparan OLED.

Sumber: weibo

Baca juga – Pembocor Rahsia Produk-Produk Apple Terima Surat Amaran

Baca juga – Xiaomi Atasi BMW Dalam Jenama Paling Bernilai Tahun 2021

Baca juga – John McAfee Ditemui Mati Dalam Sel Penjaranya