Musim peranti gaming telah pun bermula dan kini giliran Black Shark mengumumkan model terbaharu iaitu siri Black Shark 4 bagi menggantikan model sebelumnya siri Black Shark 3.

Terdapat dua model yang diumumkan dalam siri ini iaitu Black Shark 4 dan Black Shark 4 Pro.

Kedua-dua model dilengkapi skrin bersaiz 6.67 inci E4 AMOLED dengan panel 144Hz. Menariknya, kedua-dua dimuatkan dengan input sentuhan 720Hz, yang tertinggi dalam industri peranti pintar setakat ini.

Black Shark 4 Pro

Dari segi jangka hayat bateri, Black Shark 4 dan Black Shark 4 Pro dimuatkan dengan kapasiti 4,500mAh bersama pengecasan pantas 120W. Menurut Black Shark, pengisian penuh boleh dilakukan dalam tempoh sekitar 14 minit 50 saat.

Kedua-duanya juga hadir dengan sokongan bicu audio 3.5mm, NFC, Wi-Fi 6, pembesar suara stereo dan sebagainya. Bagi versi Pro, peranti ini telah menerima skor audio DxOMark tertinggi dengan 81 mata. Ia menjalankan sistem operasi JoyUI 12.5 berasaskan Android 11.

Black Shark 4

Peranti ini dijana cip pemproses Snapdragon 870 serta turut menyokong 5G. Terdapat 4 pilihan memori berasaskan LPDDR5 dan UFS 3.1 iaitu 6GB/128GB8GB/128GB, 12GB/128GB dan 12GB/256GB.

Untuk kamera belakang, ia dilengkapi dengan tiga lensa iaitu 48MP (IMX582) utama, 8MP ultra-lebar, 5MP makro. Kamera swafoto pula dimuatkan pada bezel peranti menggunakan sensor 20MP.

Terdapat 5 pilihan warna yang ditawarkan iaitu Phantom Black, Inky Black, Light Gray (tanpa paten X), Blue dan Sakura. Black Shark 4 dijual di China dengan harga berikut:

  • 6GB/128GB – 2,499 yuan (~RM1581)
  • 8GB/128GB – 2,699 yuan (~RM1708)
  • 12GB/128GB – 2,999 yuan (~RM1898)
  • 12GB/256GB – 3,299 yuan (~RM2087)

Black Shark 4 Pro

Black Shark 4 Pro merupakan varian lebih berkuasa dalam siri ini. Dari segi rekaan dan paparan, tiada banyak perbezaan dengan Black Shark 4.

Black Shark 4 Pro

Menguasakan peranti adalah cip Snapdragon 888 dengan gandingan memori sehingga 16GB RAM LPDDR5 dan storan sehingga 512GB UFS 3.1. Untuk versi Pro, ia turut menggunakan teknologi baharu SSD pada storan, sama seperti Apple MacPro.

Pada bahagian kamera, terdapat tetapan tiga kamera yang terdiri daripada 64MP (IMX686) utama, 8MP ultra-lebar dan 5MP makro. Kamera swafoto pula ditempatkan pada paparan berlubang dengan sensor 20MP.

Black Shark 4 Pro

Terdapat tiga pilihan warna yang ditawarkan iaitu Black, Gray, Ink Sea Black (tanpa paten X) dan Blue. Untuk pasaran China, Black Shark 4 Pro dijual pada harga berikut:

  • 8GB/256GB – 3,999 yuan (~RM2530)
  • 12GB/256GB – 4,499 yuan (~RM2847)
  • 16GB/512GB – 5,299yuan (~RM3353)

Buat masa ini, belum lagi diketahui bila Black Shark 4 dan Black Shark 4 Pro akan tiba untuk pasaran global dan khususnya untuk pasaran tempatan.