Polis Diraja Malaysia (PDRM) Jabatan Siasatan jenayah Komersil menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan panggilan yang diterima kononnya daripada pihak penghantar barang.

Ia susulan daripada kejayaan PDRM yang telah berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan 419 scam (parcel scam/love scam) pada 23 Jun lalu di sekitar Kajang, Selangor.

PDRM berkata, sindiket tersebut dikesan aktif menipu orang ramai dengan menyamar sebagai pegawai kastam atau pekerja syarikat kurier bagi memperdaya mangsanya.

Sindiket yang dikesan aktif sejak 5 tahun lalu melibatkan warga Nigeria dan penduduk tempatan itu mempunyai kaitan dengan sekurang-kurangnya 8 kes penipuan 419 scam yang telah dilaporkan sebelum ini.

Sehubungan itu, PDRM meminta orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang panggilan telefon, WhatsApp, mesej dari pihak Kastam atau syarikat kurier yang menyatakan anda menerima parcel yang memerlukan pembayaran dibuat bagi membolehkan parcel itu dihantar ke alamat mangsa.

Sumber: PDRM