Pada awal 2020, sebelum pelancaran iPhone 12, Apple telah membuat tinjauan pelanggan mengenai kepala pengecas yang disertakan dalam kotak. Apple kemudian telah mengeluarkan pengecas dan EarPods dari kotak pembelian iPhone bermula Oktober lalu, dengan mengatakan perubahan itu akan mengurangkan kesan produknya terhadap alam sekitar.

Terbaru, Apple kini melakukan tinjauan untuk mengukur kepentingan aksesori dalam barisan iPhone 12 dengan bertanya jika pengguna peranti itu menggunakan kabel pengecasan USB-C yang disertakan atau sebaliknya. Antara lainnya termasuk tinjauan mengenai penggunaan SIM ejection dan pelekat Apple.

Sebagai tambahan, Apple turut bertanya mengenai pengalaman Face ID pada siri iPhone 12. Spekulasi sebelum ini menyatakan syarikat itu dalam usaha untuk meningkatkan sistem pengesahan biometrik pada generasi iPhone akan datang, di mana ia mungkin mengintegrasikan teknologi Touch ID di bawah skrin.

Apple secara tipikal melakukan tinjauan selepas jualan bagi mengukur kepuasan pelanggan.

Namun, benarkah Apple merancang untuk melancarkan iPhone 13 dengan aksesori yang lebih sedikit atau memaksa pengguna membeli pengecas MagSafe? Masih terlalu awal untuk membuat sebarang andaian. Apa yang pasti, sudah tentu 2021 akan memberikan lebih banyak kejutan mengenai perkara ini.

Sumber: 9to5Mac