Syarikat dan pemaju permainan video, DICE dan EA akhirnya melepaskan video acah permainan video terbaru dari francais terkenal mereka, Battlefield.

Battlefield 2042 adalah permainan peperangan multiplayer besar-besaran seramai 128 pemain yang ditetapkan di dunia masa hadapan. Permainan ini juga mempunyai tiga mod permainan: All out warfare, Hazard Zone, Redacted.

Berdasarkan video tersebut, dunia masa hadapan sedang mengalami bencana iklim yang membawa kepada kemusnahan negara dan konflik di seluruh dunia. Ini menunjukkan peta permainan ini meliputi kawasan yang sangat luas.

Selain peta yang luas, pemain juga akan mengalami kejadian cuaca ekstrim yang akan mengubah dan memporak-perandakan perlawanan.

Tambahan lagi, ia turut memberi pilihan kenderaan yang pelbagai seperti kereta kebal, helikopter, sut terbang, dan jet pejuang untuk permainan lebih menarik.

Menurut DICE, mereka ingin mewujudkan pelbagai momen perang klasik dengan jumlah pemain yang ramai melalui perubahan peta dan cuaca ekstrim.

Nantikan video permainan (gameplay) pada 13 Jun ini untuk melihat lebih terperinci penampilan dalam permainan ini.

Sumber: EA