Sebelum ini, kami ada melaporkan tentang rancangan Google untuk kembali ke pasaran China dengan satu enjin carian yang ditapis. Ia seolah-olah menandakan usaha Google untuk mendapat kembali akses ke negara berkenaan selepas disekat pada tahun 2010.
Kredit : TechNode
Walaupun Google adalah enjin carian paling popular di dunia ketika ini, enjin carian utama di China, Baidu tidak gentar sekiranya Google diterima kembali di negara tembok besar tersebut. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Robin Li menerusi akaun WeChatnya menyatakan bahawa mereka yakin dapat mengalahkan Google dan mengekalkan penguasaan mereka di China.
Bagaimanapun, menerusi satu undian yang dijalankan di laman Weibo, Google nampaknya jauh meninggalkan pesaingnya itu. Walaupun undian itu telah dipadamkan, seorang pengguna Twitter, Matthew Brennan sempat membuat tangkapan skrin keputusan undian berkenaan.
This poll seems to have been deleted from #Weibo already, screenshots made their way into some of my WeChat groups. "If Google came back (to China), #Google and #Baidu, which would you choose?" pic.twitter.com/1typ2vyDEA
— Matthew Brennan (@mbrennanchina) August 7, 2018
Undian tersebut menunjukkan bahawa 85.7% daripada pengundi telah memilih Google sebagai enjin carian pilihan mereka, berbanding hanya 6.6% yang masih memilih Baidu. Manakala 7.7% daripada mereka tidak kisah untuk menggunakan mana-mana enjin carian.