Walaupun namanya ‘burn in’, ia sebenarnya tidaklah bermaksud skrin itu benar-benar terbakar atau hangus.

Sebaliknya terma ‘burn in’ sering digunakan merujuk kepada paparan yang mengalami kelunturan warna pada mana-mana bahagian panel paparan itu.

Ia boleh wujud dalam bentuk teks, imej, garisan, warna yang menghilang, atau corak lain pada paparan itu.

Skrin burn in yang agak teruk

Paparan itu masih lagi berfungsi seperti biasa, namun pengguna akan perasan akan ada bayangan yang tinggal atau warna yang hilang apabila skrin dihidupkan.

Perkara ini adalah kesan daripada aspek perkakas yang mana ia tidak boleh diselesaikan melalui kemaskini perisian.

Antara panel OLED dan LCD, OLED lebih mudah terjadi masalah ‘burn in’. LCD pun boleh juga jadi masalah ini, namun agak jarang berikutan penghasilan panel yang berbeza dari OLED.

Pada telefon pintar, kebiasaannya corak ‘burn in’ mudah diihat pada butang navigasi dan juga bar notifikasi disebabkan pixel skrin pada kawasan itu sering digunakan, seterusnya mempercepatkan proses penuaannya.

Burn in pada kawasan bar notifikasi

Bagaimana “Burn In” Boleh Terjadi?

Punca ‘burn in’ adalah disebabkan jangka hayat komponen cahaya dalam skrin telefon. Apabila komponen ini semakin berusia, kecerahannya turut berubah dan menjadikan warna panel itu semakin lama semakin berubah.

Pada skrin yang mempunyai ‘burn in’, ia selalunya adalah kawasan yang pixelnya jarang berubah seperti cahaya putih, atau hitam seperti butang navigasi dan juga bar notifikasi.

Mengapa kawasan lain tidak mengalami ‘burn in’? Apabila skrin asyik konsisten memaparkan satu warna sahaja, atau satu set ikon, teks manakala sekeliling pixelnya memaparkan warna yang berlainan, ia akan menjadikan pixel-pixel tersebut semakin berusia kerana sering memaparkan LED warna yang sama sahaja.

Cara Mengelak Burn In?

Jika skrin telefon anda sudah sedia mengalami masalah ‘burn in’, mustahil untuk mengembalikan skrin seperti sediakala. Namun, terdapat beberapa langkah penjagaan untuk memelihara jangka hayat skrin agar tidak mudah menjadi ‘burn in’:

  • Memastikan kecerahan skrin yang rendah. Kurangkan kecerahan jika tidak perlu.
  • Memendekkan masa time-out screen. Tutup terus skrin jika tidak menggunakan telefon untuk elakkan skrin dari paparkan imej statik terlalu lama.
  • Gunakan mod gelap. Menggunakan antaramuka gelap mengurangkan pencahayaan dan membantu LED bertahan lebih lama.
  • Gunakan Immersive Mode untuk menyembunyikan bar notifikasi.
  • Pilih gambar latar dengan warna gelap dan sentiasa tukar pada kadar yang kerap.
  • Gunakan aplikasi papan kekunci dengan tema gelap.
  • Jika gunakan aplikasi navigasi untuk perjalanan yang panjang, pilih yang tidak menggunakan antaramuka terang dan statik.
  • Gunakan navigasi gestur dan tinggalkan butang. Ia membantu mengelakkan burn in pada bawah skrin.
Gunakan mod gelap

Pun begitu, isu skrin ‘burn in’ ini bukanlah sesuatu yang kritikal jika pengguna mahu mencari telefon skrin OLED baharu. Panel skrin telefon sekarang lagi-lagi OLED adalah lebih mahu dan mempunyai jangka hayat lebih lama berbanding sebelum-sebelum ini. Jika adapun burn ini, ia agak jarang ditemui.

Kebiasaannya isu burn ini mengambil masa yang agak lama untuk terjadi. Asalkan pengguna tidak menggunakan imej statik pada skrin dengan kecerahan maksimum selama 24 jam, anda tidak perlu risau ia akan terjadi pada telefon anda.

Rujukan 1
Rujukan 2