Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini mengesahkan bahawa telah berlaku serangan siber terhadap data rangkaian milik ATM. Insiden tersebut telah dikesan oleh Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) dan Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) ATM.

BSEP dan CDOC juga telah melaksanakan pengasingan trafik data bagi tujuan mengaburkan lokasi sebenar data-data berdarjah dan seterusnya melindungi rangkaian yang menjadi sasaran penggodam.

ATM turut menyatakan serangan siber tersebut gagal menjejaskan operasi portal sebenar, sebaliknya hanya berjaya menggodam segmen tertentu yang telah diletakkan di luar rangkaian sejak awal. Terdapat juga cubaan serangan siber yang berterusan terhadap rangkaian maklumat yang dimiliki oleh pihak Kementerian Pertahanan dan ATM.

Dengan itu, ATM kini sedang memantau dan mempertingkatkan aspek keselamatan dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM menegaskan bahawa aspek keselamatan siber ATM sentiasa bersiap sedia bagi memastikan segala ancaman yang mengganggu rangkaian komunikasi pertahanan dapat dikesan awal dan ditangani sewajarnya.

Sumber: Angkatan Tentera Malaysia