Pada minggu lepas, Asus telah mengacah peranti gaming baharunya dan sebelum ini, kami turut melaporkan bahawa imej ROG Phone ini telah tertiris.

Menerusi artikel yang lalu, rekaan panel belakang ROG Phone 5 ini kelihatan berbeza di mana logo ROG diletak pada bahagian bawah dan terdapat satu corak atau garisan yang warnanya berbeza.

Terbaru, persoalan ini akhirnya terjawab kerana satu video yang mengatakan ROG Phone 5 ini dimuat naik dalam weibo dengan menampilkan skrin pada panel belakang.

Seperti yang dilihat, skrin pada panel belakang ini boleh diubah mengikut kehendak pengguna. Ia sama yang kita lihat pada komputer riba ROG Zephyrus G14 yang mana kehadiran paparan AniMe Matrix.

Jika benar, ini merupakan satu perkara yang menarik untuk dilihat kerana mungkin skrin pada panel belakang ini boleh memaparkan paras bateri mahupun audio.

Malah, skrin yang kecil ini lebih praktikal berbanding skrin penuh pada bahagian belakang peranti yang bila dilihat agak janggal untuk digunakan.

Peranti ini pasti akan menggantikan ROG Phone 3 dengan cip dikuasakan Snapdragon 888 dan dijangka akan dilancarkan pada pertengahan tahun ini.

Sumber: androidauthority