Apple kini dilaporkan telah disaman oleh sekumpulan NGO, Coalition for a Safer Web (CSW) di Washington. Ini kerana, syarikat itu didakwa gagal membuang Telegram, aplikasi sembang popular dari App Store yang dikatakan turut diguna oleh kumpulan ekstremis untuk menyerang Capitol pada awal Januari lalu.

Tuntutan itu merupakan taktik tekanan untuk membuat Apple mengambil tindakan yang sama kepada Telegram seperti yang dilakukan terhadap Parler, sebuah laman media sosial yang terkait dengan keganasan dan pemberontakan yang berlaku di Capitol itu.

CSW mendakwa Apple gagal mengikuti polisi dan garis panduannya sendiri mengenai kandungan aplikasi yang berkaitan Telegram. Dengan melakukan seperti itu, Apple seolah-olah membenarkan pengguna Telegram yang berniat jahat untuk meneruskan aktiviti mereka.

Sebagai tambahan, Apple juga dikatakan tidak berlaku adil dalam mengaplikasikan peraturannya.

CSW telah menuntut perbicaraan juri dan meminta mahkamah untuk menyediakan ganti rugi kerosakan kepada setiap plaintif, kos pembiayaan guaman serta perintah injunksi untuk melarang akses Telegram dari App Store sehingga ia mematuhi garis panduan Apple.

Sumber: Apple Insider