Apple dilaporkan akan membawakan mesin servis skrin pecah iPhone yang digelar “Horizon Machine”, meliputi 400 pusat pembaikan di 25 buah negara menjelang hujung tahun ini.
Langkah yang diambil Apple ini adalah bertujuan untuk memastikan masa membaik pulih skrin retak iPhone disingkatkan.
Modus operandi memasang mesin ini telah dijalankan selama setahun dengan beberapa syarikat yang mengambil bahagian memasang mesin tersebut di kedai mereka. Antara nama besar adalah seperti Best Buy di Miami dan Sunnyvale di California.
Mengikut Apple, hanya mesin Horizon yang mampu memperbaiki kerosakan seperti teknologi 3D Touch dan butang Home. Tetapi jika dilihat di Malaysia sekalipun, sudah banyak kedai membaik pulih yang sudah berkemampuan untuk memperbaiki skrin iPhone yang rosak.
Cuma mesin Horizon ini merupakan mesin ‘official’ yang dibawakan oleh Apple untuk memperbaiki masalah yang sering dihadapi oleh pengguna iPhone.
Apple mendakwa akan membawakan mesin Horizon ini ke 200 cawangan Apple dan 4,800 kedai servis di seluruh dunia dalam bulan mendatang termasuklah di Colombia, Norway dan Korea Selatan, dimana negara yang disenaraikan ini tidak mempunyai cawangan Apple di negara mereka. Malaysia tak tahu lagi bila.