Sejak WhatsApp mengemaskini polisi dan kepenggunaan baharu untuk aplikasi mereka, lebih ramai pengguna secara global mula beralih kepada aplikasi permesejan Signal. Tambahan pula, aplikasi ini telah disyorkan oleh Elon Musk sebagai alternatif kepada WhatsApp.

Terbaru, Signal telah mengesahkan aplikasi mereka sedang menghadapi masalah teknikal. Ia berikutan peningkatan pengguna baharu yang bertambah secara mendadak.

Syarikat itu menyatakan mereka telah menambah pelayan baru dan kapasiti tambahan. Bagaimanapun, ia masih tidak cukup untuk menampung bilangan pengguna yang semakin meningkat.

Buat masa ini, Signal dalam usaha untuk membaik pulih masalah berkenaan. Ia dijangka akan kembali pulih seperti biasa tidak lama lagi.

Di sisi yang lain, sehingga kini aplikasi permesejan Signal telah dimuat turun oleh lebih 50 juta pengguna di Play Store.

Sumber: Signal via Android Police