Peranti Android sedia ditawarkan dengan pelbagai aplikasi dan antara yang banyak dipasang adalah aplikasi dari Google. Sehingga kini, hanya aplikasi dari syarikat teknologi gergasi itu yang mencecah lebih dari 5 bilion pemasangan pada peranti Android dan kini mengambil giliran adalah Facebook.
Aplikasi Facebook merupakan satu-satunya aplikasi bukan daripada Google yang berjaya mencecah 5 bilion pemasangan. Ini bukanlah suatu perkara yang mengejutkan kerana umum mengetahui bahawa Facebook merupakan media paling popular yang digunakan diserata dunia.
Pencapaian ini hadir selepas lebih 5 tahun Facebook melepasi angka 1 bilion pemasangan. Selain Facebook, 7 aplikasi Google yang merekodkan jumlah pemasangan besar itu adalah Google Play Services, YouTube, Google Maps, Google, Gmail, Google Text-To-Speech dan Google Chrome.
Selain dimuat turun dari Google Play Store, Facebook juga sudah membuat perjanjian dengan beberapa pengeluar untuk menyediakan aplikasi mereka secara pra-pasang dalam peranti dari pengeluar seperti Samsung, LG dan lain-lain lagi.
Sumber: Android Police