Hasil karya animasi Malaysia terus mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila berjaya memenangi anugerah di festival sinema Brazil.

Lebih membanggakan animasi yang menggunakan judul dalam bahasa Bidayuh iaitu ‘Batuh Bijanji’ (‘Batu Perjanjian’) itu dihasilkan oleh dua murid tahun 5 dari Sekolah Kebangsaan (SK) Temong, Serian, Sarawak iaitu Macgres Sawet dan Nabiatul Dania Zulfiqa Mohd Zulfadhli.

Karya ciptaan mereka berdua dengan bimbingan Cikgu Wan Zulfadli Ad-Dinnie Wan Azmi bersama Cikgu Mohd Reduan Patah itu telah berjaya memenangi anugerah ‘Best Film By Popular Jury‘ bagi kategori sekolah rendah pada ‘Festival de Cinema Escola de Alvorada‘ (FECEA), di Brazil baru-baru ini.

FECEA merupakan Festival Filem Sekolah Antarabangsa Alvorada yang diadakan di Brazil yang memberi pengiktirafan terhadap karya audiovisual bagi peringkat sekolah.

Batuh Bijanji mengisahkan tentang dua kawan baik iaitu Bibi dan Sarah yang mula menjalin persahabatan selepas Bibi bertemu dan memujuk Sarah yang sedang dalam kesedihan.

Kejayaan yang ditempa oleh warga sekolah itu juga turut menerima ucapan tahniah dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Sumber: Utusan Borneo