Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini melancarkan penubuhan Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP).

Menurut ATM, penubuhan BSEP ini adalah bertepatan dengan peningkatan cabaran persekitaran serta ancaman keselamatan masa kini yang boleh dipengaruhi dan disalahgunakan melalui kemajuan teknologi komunikasi maya. Berikutan itu, ATM telah dipertanggungjawab untuk menyediakan kekuatan pertahanan yang relevan seiring dengan ancaman semasa yang semakin sukar.

Menerusi BSEP, ia bertindak sebagai agensi pendahulu di peringkat ATM dan Kementerian Pertahanan, dalam mengkoordinasikan semua perkara berkaitan domain siber dan elektromagnetik.

Untuk pengetahuan, penubuhan BSEP merupakan transformasi dari Bahagian Komunikasi dan Elektronik Pertahanan (KOMLEK) ke arah Information Superiority. KOMLEK merupakan sebuah organisasi di Markas ATM yang ditubuhkan pada tahun 1993. Ia telah melalui beberapa penjajaran dan penjenamaan sehinggalah terbentuk organisasi BSEP.

Kini, BSEP akan menumpukan Cyber Electromagnetic Activities (CEMA) sebagai domain baharu dalam senarai peranannya tanpa merubah peranan konvensionalnya.

Dalam pada itu, ATM melalui BSEP juga akan melaksanakan hubungan kerjasama rakan strategik seperti National Cyber Security Agency (NACSA), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Sumber: Angkatan Tentera Malaysia (ATM)