Bermula Android 10, pengguna sudah boleh berkongsi kata laluan Wi-Fi dengan menggunakan kod QR. Akan tetapi, sekurangnya dua peranti diperlukan di mana salah satu peranti perlu mengimbas kod QR pada peranti yang lain. Ciri ini mungkin agak sukar apabila perlu berkongsi dengan ramai pengguna dalam masa yang sama.

Terbaru, Google dilaporkan akan menyertakan cara yang lebih mudah untuk berkongsi kata laluan Wi-Fi, dan dijangka akan diperkenalkan pada Android 12 nanti.

Menurut laporan XDA-Developers, Android 12 dijangka akan dilengkapi perkongsian kata laluan Wi-Fi melalui ciri Nearby Share.

Ini bermakna, pengguna dengan pantas boleh berkongsi kata laluan Wi-Fi mereka dengan pengguna Android lain yang telah mengaktifkan Nearby Share. Juga, perkongsian kata laluan boleh dilakukan pada jarak yang tidak terlalu dekat kerana tidak memerlukan imbasan kod QR.

Sebagai tambahan, sambungan internet juga mungkin boleh dihadkan kepada pengguna tertentu.

Buat masa ini, masih belum dapat dipastikan jika fungsi berkenaan akan disertakan dalam Android 12. Sementara itu, Android 12 Developer Preview pula dijangka akan dilancarkan pada Februari depan.

Sumber: XDA-Developers