Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) kini kembali mengingatkan kesemua pengguna bahawa pengguna dron perlu mempunyai permit jika mahu menerbangkan dron di mana-mana tempat sekalipun.

Peringatan ini merupakan lanjutan daripada pengumuman sebelum ini yang menyatakan kesemua penggiat dron tidak boleh menerbangkan dron tanpa kebenaran atau permit.

Untuk memohon permit tersebut, anda perlu mengisi borang melalui pautan ini dan kemudiannya menghantarkannya kepada [email protected]

Menurut CAAM, mereka juga kini sedang mengkaji bagaimana pemberian kelulusan dron ini dapat dimanfaatkan kepada kesemua industri tanpa membebankan mana-mana pihak.

Ini adalah kerana selain dari hobi, ramai juga yang menggunakan dron untuk memudahkan kerja dan tugasan seperti dalam industri pertanian.

Satu peraturan baharu juga akan dikeluarkan pada tahun 2021 untuk membolehkan pengendali dron seluruh Malaysia dibimbing dengan lebih selamat dan terlatih.

Buat masa ini, pihak CAAM meminta agar semua penggiat dron bersabar menunggu peraturan baharu yang bakal dikeluarkan pada tahun hadapan.

Permohonan permit ini perlu dilakukan sekurang-kurangnya 14 hari sebelum aktiviti penerbangan dilakukan. Anda juga perlu membayar sejumlah RM1,000 untuk dron melebihi 20kg atau RM250 untuk dron di bawah 20kg.

Jika gagal mengikuti arahan permit ini, anda boleh dikenakan dengan RM50,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Sumber: CAAM