Memandangkan kita kini masih lagi berada lama fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebahagian daripada kita mungkin sedang mencari cara yang lebih mudah untuk membeli barangan basah seperti ikan dan ayam tanpa keluar dari rumah.
Kini bagi memudahkan pembeli, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dengan kerjasama Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) telah memperkenalkan penjualan dalam talian.
Jualan tersebut menawarkan penghantaran terus ke rumah dimana pembayaran boleh dibuat melalui dalam talian mahupun secara tunai ketika barang dihantar, Cash On Delivery (COD).
Sebanyak 44 buah persatuan nelayan seluruh negara terlibat dalam inisiatif yang dijalankan ini dan pembeli boleh melakukan tempahan di halaman NEKMATbiz.
Setelah meninjau laman tersebut, didapati penawaran ikan segar ditutup buat sementara waktu, tetapi Pakej ikan masih disenaraikan dan boleh ditempah.
Penutupan sementara waktu itu dilakukan oleh kerana trafik tempahan yang terlalu tinggi dan mahu memberi ruang proses penyelarasan bekalan dan logistik. Penghantaran mungkin mengambil masa dari 4 ke 5 hari.
Selain daripada itu, LKIM juga bakal menawarkan hasil laut itu pada platform beli-belah dalam talian, Shopee. Bagi fasa pertama jualan di Shopee, penghantaran hanya meliputi kawasan Lembah Klang sahaja.
Sumber: Bernama