Sebelum ini, Huawei dilaporkan sedang membangunkan teknologi pengecaman wajah untuk mengesan etnik Uyghur. Terbaru, gergasi teknologi Alibaba Group Holding Ltd turut dilaporkan mempunyai teknologi pengecaman wajah yang secara khusus dapat mengesan etnik minoriti Uyghur di China. Perkara ini didedahkan oleh IPVM dalam sebuah laporan yang disiarkan.

IPVM yang berpangkalan di A.S. dalam laporan yang diterbitkan mengatakan bahawa perisian yang dapat mengenal pasti etnik Uyghur ini muncul dalam perkhidmatan kandungan Alibaba Cloud Shield.

Alibaba telah menggambarkan Cloud Shield sebagai sistem yang boleh mengesan dan mengenali teks, gambar, video, dan suara yang mengandungi pornografi, politik, keganasan, iklan, dan spam, serta memberikan pengesahan, penandaan, konfigurasi khusus dan kemampuan lain.

Selain itu, rekod yang telah diarkibkan dari perma.cc/9ZUV-UD2F menunjukkan teknologi itu dapat melakukan tugas seperti “pemeriksaan cermin mata”, “pengesanan senyuman”, sama ada subjeknya “etnik” dan, khususnya, “Adakah itu Uyghur”.

Menurut penyelidik IPVM, jika seseorang daripada etnik Uyghur membuat penstriman langsung di laman web yang mendaftar ke Cloud Shield ini, perisian itu boleh mengesan sama ada pengguna tersebut adalah daripada etnik Uyghur dan menandakan video tersebut untuk disemak atau dikeluarkan.

IPVM juga menyatakan garis panduan API yang menyebut etnik Uyghur telah dikeluarkan dan tidak lagi tersedia apabila membuat carian pada laman web Alibaba Cloud. Alibaba turut mengeluarkan ciri pengecaman wajah “etnik minoriti” daripada halaman yang dinyatakan.

Dalam pada itu, Alibaba mendakwa ciri ini hanya digunakan untuk ujian. Menurutnya,

“The ethnicity mention refers to a feature/function that was used within a testing environment during an exploration of our technical capability. It was never used outside the testing environment.”

Bagaimanapun, Alibaba tidak menyediakan sebarang bukti jika ianya hanyalah sebahagian daripada ujian atau sebaliknya. Alibaba juga tidak memberikan penjelasan lanjut mengapa ia perlu membuat ujian terhadap etnik minoriti dan Uyghur.

Sumber: IPVM via Reuters