Sekarang ini kecoh dengan rungutan pengguna terhadap peningkatan harga ayam yang agak membebankan.

Tambahan pula di bulan puasa ini, makanan-makanan yang melibatkan lauk pauk berasaskan ayam sudah pastinya turut terjejas dengan peningkatan harga ini.

Berdasarkan kepada semakan terkini di seluruh negara di laman rasmi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), harga ayam proses standad adalah sekitar RM8.00 sehingga mencecah RM11.00 sekilogram.

Walaubagaimanapun, masih terdapat peniaga ayam yang menjual lebih mahal daripada harga kawalan yang telah ditetapkan.

Oleh itu, sekiranya terdapat penjualan ayam pada harga yang tidak munasabah, anda boleh terus melaporkannya kepada penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerusi aplikasi EzADU KPDNHEP.

Kelebihan menggunakan aplikasi ini adalah, anda bukan sahaja boleh membuat aduan berkaitan harga ayam sahaja, tetapi juga memudahkan anda membuat aduan bagi pelbagai perkara yang berkaitan dengan jual beli barangan dan perkhidmatan.

Menerusi aplikasi ini, anda boleh membuat aduan ke atas 26 kategori seperti Barang Tiruan, Harga, Iklan Mengelirukan, Cetak Rompak, Sewa Beli Kenderaan dan Perkhidmatan Mengelirukan.

Pengguna boleh membuat pengaduan dengan 4 langkah yang mudah iaitu dengan memasukkan butiran aduan, laporan aduan dan seterusnya membuat geo tagging dan menyertakan gambar sebagai bukti.

Aplikasi EzADU KPDNHEP boleh dimuat turun secara percuma untuk platfom Android dan iOS.

Sumber: KPDNHEP