Pengguna Android sering menjadi sasaran aplikasi-aplikasi perisian hasad.

Lihat sahaja untuk sepanjang tahun 2020 ini, begitu banyak serangan perisian hasad ke atas pengguna Android dilaporkan media akibat eksploitasi pembangun yang tidak bertanggungjawab yang telah memuatkan perisian hasad ke dalam aplikasi-aplikasi mereka dengan menawarkannya menerusi Google Play Store.

Oleh sebab itulah Google ada memuatkan ciri keselamatan terbina dalam pada Play Store.

Ciri yang dikenali sebagai Google Play Protect melindungi pengguna peranti Android daripada memuat turun aplikasi-aplikasi yang diragui.

Ciri tersebut berjalan disebalik tabir apabila pengguna memuat turun sesuatu aplikasi.

Ia akan memberikan amaran kepada pengguna sekiranya aplikasi yang dimuat turun itu boleh membahayakan peranti, melanggar polisi aplikasi yang ditetapkan Google serta memberikan amaran akses privasi.

Jadi sebagai pengguna yang bijak dan peka ke atas keselamatan peranti anda, anda sepatutnya memastikan ciri Google Play Protect dalam peranti Android anda sudah diaktifkan.

Google Play Protect boleh diaktifkan atau dinyah aktif di dalam tetapan Play Store > Menu > Play Protect > Settings > Scan apps with Play Protect.

Dengan mengaktifkan ciri ini, Play Protect akan mengimbas secara berkala ke atas aplikasi-aplikasi yang terdapat di dalam peranti Android anda bagi memastikan peranti anda sentiasa dipasang dengan aplikasi yang disahkan selamat sahaja.

Sungguhpun begitu, anda masih disyorkan supaya kerap menyemak sendiri status aplikasi-aplikasi yang terdapat di dalam peranti anda.

Semakan ke atas status keselamatan aplikasi yang terdapat di dalam peranti anda boleh dibuat menerusi Menu > Play Protect > Scan.

Kesimpulannya, Google Play Protect adalah ciri penting yang dapat menyemak status keselamatan aplikasi-aplikasi yang dipasang ke dalam peranti Android.

Ia juga melakukan imbasan secara berkala bagi memastikan keselamatan peranti Android.

Malah dalam sesetengah kes kritikal, sekiranya dikesan terdapat aplikasi yang merbahaya di dalam peranti pengguna, Google Play Protect secara automatik akan membuang aplikasi merbahaya itu dari peranti penggunanya.

Sumber: Google Support