Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini memaklumkan bahawa mereka telah mengesan individu tertentu yang menggunakan nama Pengerusi Suruhanjaya itu menerusi alamat e-mel mencurigakan bagi melakukan urusan pemerolehan dan pembayaran kepada vendor antarabangsa.

Antara kandungan e-mel itu termasuklah arahan kepada Ketua Jabatan Kewangan dan Akaun Suruhanjaya berhubung urusan pemerolehan dan pembayaran yang dimaksudkan.

Walhal SKMM menyatakan bahawa Pengerusi SKMM tidak pernah mengeluarkan sebarang e-mel berkaitan perkara tersebut.

SKMM menegaskan, alamat e-mel rasmi bagi kakitangan MCMC berakhir dengan nama domain mcmc.gov.my dan bukannya nama domain lain.

Malah sebarang urusan rasmi Suruhanjaya akan dimaklumkan secara telus dan terbuka dan bukannya melalui kandungan e-mel sebegitu.

Berikutan itu, SKMM meminta orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan kewujudan e-mel yang mencurigakan menggunakan nama seseorang pemimpin organisasi kerana ia berkemungkinan besar satu taktik penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Sumber: SKMM