Acer hari ini telah melancarkan tiga komputer riba baharu yang dikemaskini spesifikasinya dengan menggunakan cip pemproses Intel Gen-11 iaitu Swift 3, Swift 5 dan juga TravelMate P2.

Acer Swift 5

Acer Swift 5 dikuasakan cip pemproses Intel Gen-11 yang dipadankan dengan storan dalaman 512GB PCIe NVMe SSD dan RAM LPDDR4X sehingga 16GB. Ia turut dilengkapi grafik Intel Iris Xe.

Komputer riba ini bersaiz 14 inci boleh sentuh beresolusi FHD panel IPS yang menyokong gamut warna sRGB 100% serta 90% nisbah skrin ke badan.

Selain itu, ia dimuatkan dengan Intel Wireless WiFi 6 dan Bluetooth 5.0 untuk sambungan yang lebih baik. Bagi bateri pula, ia mampu digunakan sehingga 15 jam dengan sekali cas dan boleh main balik video selama 4 jam dengan 30 minit cas sahaja.

Tambahan lagi, Microsoft Office Home & Student 2019 sudah di pra-pasang dalam komputer riba ini dan sudah mula dijual pada harga bermula RM3999 bagi model CPU Intel Core i5-11357G7.

Acer Swift 3

Acer Swift 3 didatangkan dengan spesifikasi dalaman yang hampir sama dengan Acer Swift 5 dimana ia dijana cip pemproses Intel Gen-11, 512GB PCIe NVMe SSD dan RAM sehingga 16GB LPDDR4X.

Skrin yang berukuran 14 inci beresolusi FHD panel IPS LED tetapi tidak menyokong paparan boleh sentuh.

Kerangkanya dibina dengan aluminium dan magnesium yang seberat hanya 1.2kg. Acer juga mendakwa komputer riba ini mampu bertahan sehingga 11 jam dan menyokong pengecasan pantas untuk main balik video selama 4 jam dengan hanya 30 minit cas.

Selain itu, perisian Microsoft Office sudah terpasang di dalamnya. Acer Swift 3 bagi model CPU Intel Core i5-11357G7 boleh dibeli dengan harga bermula RM3299.

TravelMate P2

Komputer riba TravelMate P2 sesuai buat golongan usahawan yang mahukan ciri-ciri perniagaan dan sambungan rangkaian yang baik.

Ia dikuasakan cip pemproses Intel Gen-11 yang digandingkan dengan grafik Intel Iris Xe. Turut ditawarkan pilihan storan 1TB HDD atau 512GB PCIe NVMe SSD dengan RAM yang boleh dinaik taraf sehingga 32GB.

Malah, komputer riba ini juga mencapai piawaian MIL-STD-810G dimana ia telah diuji ketahanannya jika terjatuh.

Disebabkan ia memfokuskan golongan usahawan, komputer riba ini dipasang dengan perlindungan tahap cakera keras Trusted Platform Module (TPM) 2.0 untuk pengesahan yang selamat selain untuk melindungi data dalam komputer riba.

Ciri keselamatan tambahan turut diberikan dimana anda boleh membuka komputer riba ini dengan pengimbasan jari atau pun dengan pengimbasan muka.

Dilengkapi WiFi 6 (802.11ax) serta kamera beresolusi 720p bagi pengalaman panggilan video lebih lancar.

Tambahan lagi, ia mempunyai port USB-C yang menyokong pemindahan data sehingga 10Gbps, sambungan DisplayPort dan juga DC-in untuk mengecas.

TraveMate P2 ini sudah mula dijual buat pasaran tempatan melalui pengedar Acer yang sah dengan harga bermula RM2699.