Musim baru untuk sesi persekolahan kini hampir tiba untuk peringkat sekolah serta universiti dan semestinya cara pembelajaran juga akan turut berubah bagi sesetengah pelajar.
Oleh itu, ulasan kali ini akan menampilkan produk tablet terbaru daripada syarikat teknologi HUAWEI yang mana ia berkebolehan untuk dijadikan sebagai satu naik taraf kepada kaedah pembelajaran serta penggunaan seseorang individu itu.
Tablet yang dimaksudkan adalah HUAWEI MatePad 11.5 PaperMatte Edition.
Kalau anda merupakan seorang peminat dan pengguna tetap peranti HUAWEI, produk ini mungkin tidak asing di fikiran anda kerana versi standard telah pun dilancarkan pada bulan Julai 2023 yang lepas.
Kini, versi terbarunya hadir dengan penambahbaikan yang ketara di bahagian paparan, iaitu ia menggunakan PaperMatte Display atau paparan seakan kertas.
Pencerahan yang lebih mendalam tentang peranti ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam artikel ulasan ini bagi memberikan anda gambaran sebenar tentang produk ini.
Spesifikasi
Cip: Snapdragon 7 Gen 1
GPU: Adreno 644
Memori: 8GB RAM
Storan: 256GB
Sistem Operasi: HarmonyOS 3.1
Skrin: HUAWEI PaperMatte Display, LCD (IPS) 11.5 inci, 120Hz, 2200 x 1440
Kamera: 13MP utama, 8MP swafoto
Bateri: 7,700mAh, pengecasan berwayar 22.5W
Lain-lain: USB-C 2.0, Bluetooth 5.2
{suggest}
Rekaan
Sebagai permulaannya, saya ingin memuji reka bentuk tablet ini terlebih dahulu kerana ia menepati ciri-ciri peranti mudah alih yang saya minat iaitu panel belakangnya yang diperbuat daripada bahan aluminium serta permukaan panel belakang yang kosong tanpa corak dan tidak terlalu meriah.
Nama yang sesuai untuk diberikan bagi reka bentuk tablet ini adalah minimalis.
Hanya mempunyai logo HUAWEI di bahagian tengah dan kamera di bahagian penjuru atas kiri tablet menampakkan ia lebih kemas jika dibandingkan dengan jenama tablet yang lain.
Walau bagaimanapun, itu bukanlah perkara utama yang ingin saya ulaskan tentang tablet ini kerana ada ciri lain yang lebih menyerlah daripada reka bentuknya iaitu paparan PaperMatte.
Untuk pengetahuan anda, PaperMatte Display ini adalah nama yang diberikan oleh HUAWEI sendiri bagi memperlihatkan teknologi anti silau peringkat nano dan TÜV Rheinland yang mampu menghalang sebanyak 97 peratus pantulan cahaya ke skrin tablet.
Daripada ini, kita boleh lihat yang HUAWEI telah bersungguh-sungguh meningkatkan taraf kualiti tablet MatePad 11.5 mereka untuk menjaga kesihatan mata penggunanya.
Perbezaan paparan PaperMatte ini boleh kita lihat apabila dibandingkan dengan tablet jenama yang lain secara bersebelahan seperti gambar di atas dan ia juga berkesan untuk kegunaan di bawah cahaya matahari.
Saya sendiri yang telah menggunakan tablet ini sebagai pembantu perlaksanaan tugas-tugas harian rasa sangat berpuas hati dengan jenis paparan terbarunya kerana ia memudahkan saya untuk merujuk dan membaca bahan-bahan kerja seperti e-mel dan dokumen dengan senang tanpa gangguan pantulan cahaya lampu dan matahari.
Walaupun banyak kebaikan yang hadir bersamanya, pasti akan ada kelemahannya juga yang mana ia bukanlah sesuatu yang besar bagi anda yang tidak mementingkan kesempurnaan (perfectionist).
Kelemahan itu terletak pada kualiti paparan video yang kurang memberikan kualiti warna sebenar untuk sesuatu video itu walaupun telah ditetapkan dengan resolusi 4K kerana warna asal pada video itu akan sedikit terhalang oleh PaperMatte Display daripada dalam serta menampakkannya seakan-akan kabur.
Tapi memang itulah yang terpaksa dikorbankan apabila kita menggunakan paparan matte. Mata tak rasa penat apabila melihat tetapi visual yang kita nampak akan kurang kejelasannya atau kita panggil clarity.
Apa-apapun, hal ini bergantung pada sudut pandangan dan cita rasa masing-masing kerana tablet ini telah memainkan peranannya untuk menjaga kesihatan mata penggunanya serta turut mempunyai empat pembesar suara stereo yang tidak mengecewakan.
Tambahan lagi, tablet ini juga didatangkan bersamanya dengan kelengkapan perkakasan percuma berupa HUAWEI MatePad Smart Keyboard, HUAWEI M-Pencil Gen-2 dan HUAWEI Mouse.
Bagi saya, perkakasan ini sangatlah berbaloi untuk dimiliki oleh para pelajar atau pun pekerja pejabat kerana ia mampu untuk memberikan pengalaman penggunaan yang cekap untuk melakukan segala jenis tugas menggunakan MatePad 11.5 PaperMatte Edition ini.
Prestasi
Seterusnya kita akan masuk ke bahagian dalaman iaitu prestasi tablet ini untuk memberikan gambaran tentang kebolehan dalam melakukan tugasan harian.
Seperti yang telah saya ulas di atas mengenai paparan PaperMatte, ia juga mempunyai kelebihan lain yang memainkan peranan besar dalam penggunaan M-Pencil Gen-2 kerana anda akan dapat merasai pengalaman menulis dan melukis seperti di atas buku ataupun kertas.
Kalau dahulu, para pengguna tablet kebanyakannya sering mengelak tapak tangan mereka daripada terkena skrin tablet apabila menulis atau melukis dengan menggunakan pen stylus kerana ia akan meninggalkan kesan cap jari dan peluh di permukaan skrin.
Sekurang-kurangnya, mereka akan beli dan memasang pelindung skrin jenis Matte untuk hindar perkara itu demi keselesaan.
Oleh yang demikian, anda tidak perlu risau apabila menggunakan HUAWEI MatePad PaperMatte Edition ini kerana ia telah lengkap dengan ciri tersebut.
Saya sendiri yang bukan peminat melukis di atas permukaan skrin ini telah berubah fikiran setelah menggunakan tablet ini untuk tujuan berkenaan.
Lebih-lebih lagi apabila digandingkan dengan M-Pencil Gen-2 yang mempunyai ketepatan sensor mata pensel yang jitu serta sensitiviti tekanan yang mampu mengubah ketebalan garisan berdasarkan tekanan mata M-Pencil.
Walaupun ia tidak dibekalkan dengan teknologi NearLink seperti M-Pencil Gen-3, keselesaan ketika menulis dan melukis dengan M-Pencil Gen-2 ini seperti tidak ada beza yang sangat ketara apabila saya bandingkan kedua-duanya melainkan kaedah penyambungan dan penyimpanan pen stylus ini.
Dalam pada itu, anda juga boleh merasai pengalaman penggunaan seperti komputer riba apabila digandingkan dengan HUAWEI MatePad Smart Keyboard.
Sama seperti MatePad 11.5 versi standard, edisi PaperMatte ini juga dilengkapi dengan ciri SuperHub yang mampu melancarkan serta menyimpan pelbagai aplikasi dengan lebih mudah dan kemas.
Dari sudut ‘gaming’ pula, permainan mudah alih yang tidak memerlukan kualiti grafik yang tinggi untuk beroperasi seperti Mobile Legends boleh dimainkan dengan lancar tanpa rasa lag.
Hal ini kerana kad grafik yang dibekalkan adalah pada tahap mid-range sahaja walaupun digandingkan dengan cip pemprosesan yang berkuasa, ia tetap kurang memberikan prestasi yang memuaskan untuk permainan yang bergrafik tinggi.
Gambar di bawah adalah keputusan ujian penanda aras daripada aplikasi Geekbench 6 bagi mengelaskan cip pemprosesannya di tahap yang berkuasa dari sudut prestasi.
Dari sudut penggunaan bateri pula, saya simpulkan yang tablet ini mampu untuk bertahan paling maksimum selama 8 jam penggunaan asas seperti melayari media sosial, mengambil nota dan melukis.
Jangka hayat penggunaan bateri bagi setiap peranti mudah alih itu sebenarnya sukar untuk diberikan puratanya kerana ia bergantung kepada cara penggunaan masing-masing. Namun, kelemahan ketara yang saya lihat adalah kelajuan mengecasnya sangat perlahan lebih-lebih lagi untuk kapasiti bateri yang besar.
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, saya rasa HUAWEI MatePad 11.5 PaperMatte Edition ini sangat memenuhi keperluan pengguna dari sudut penggunaan umum yang tidak terlalu berat seperti tontonan video, mengambil nota, melukis malah untuk sunting video juga.
Selain itu, tablet ini boleh menggantikan tugas telefon pintar sebagai paparan mudah alih yang lebih jelas skrinnya untuk dilihat dalam pelbagai jenis situasi.
Seperti yang telah saya hujahkan di bahagian rekaan, tablet ini sangat sesuai untuk digunakan oleh golongan pelajar di peringkat sekolah menengah mahupun universiti sebagai platform pembantu dalam pembelajaran.
Tambahan pula, kualiti kameranya seakan-akan kamera OPPO Pad Neo. Tidak terlalu teruk dan juga tidak melepasi tahap sederhana sesebuah kamera tablet itu.
Saya tidak memberi pencerahan dengan lebih lanjut mengenai kameranya kerana jika saya seorang pengguna tablet sepenuh masa, bab kamera adalah kurang penting untuk ditekankan daripada bab penggunaan.
Malah, tablet ini juga boleh digunakan oleh warga pejabat ataupun jurujual kerana ia lengkap dengan PaperMatte Display yang sesuai digunakan di bawah cahaya matahari untuk keselesaan membaca dan juga tontonan.
Walaupun harganya meningkat kepada RM1,999 untuk edisi PaperMatte berbanding RM1,499 untuk versi standard, saya rasa ia sangat berbaloi untuk dimiliki kerana harga tersebut adalah termasuk dengan aksesori papan kekunci, pen stylus dengan tetikus.
Malah, prestasinya pun seimbang dengan harga yang ditawarkan. Jadi, jika anda tidak kisah untuk menggunakan HarmonyOS, paparan yang perlukan “pengorbanan” kejelasan visual, kamera
Beli HUAWEI MatePad 11.5 PaperMatte Edition di:
Shopee – https://invl.io/clku338
Lazada – https://invol.co/clku339