Kesatuan Eropah (EU) secara rasmi telah menetapkan tarikh akhir bagi semua telefon pintar yang dijual dalam pasaran berkenaan, termasuk iPhone untuk menggunakan port pengecasan USB-C.
{suggest}
Untuk rekod, Parlimen Eropah pada Oktober telah meluluskan undang-undang penggunaan port pengecasan tunggal, namun tiada tarikh spesifik yang diberikan bila undang-undang itu akan berkuat kuasa.
Kini, dalam arahan yang baru diterbitkan, EU mengatakan semua telefon pintar perlu mempunyai USB-C selewat-lewatnya pada 28 Disember 2024. Sebagai tambahan, peranti lain seperti tablet dan gadget, juga dikehendaki untuk bertukar kepada USB-C di bawah undang-undang baharu itu.
Sementara itu, produk yang bergantung semata-mata pada pengecasan wayarles tanpa port tidak perlu menyertakan USB-C.
Terdahulu, Greg Joswiak yang merupakan Naib Presiden Kanan Pemasaran Apple telah mengesahkan bahawa Apple akan patuh dengan undang-undang EU berhubung kewajipan untuk menggunakan port USB-C.
Joz tidak menyatakan bila Apple akan beralih kepada USB-C. Terdapat laporan yang mengatakan Apple mungkin beralih kepada port USB-C lebih awal, melalui pelancaran iPhone 15 pada September 2023.
Bagaimanapun, mengambil kira tarikh akhir untuk pelaksanaan penggunaan USB-C adalah pada 2024, tidak mustahil kita mungkin perlu menunggu sehingga pelancaran iPhone 16 sebelum Apple beralih kepada port tersebut.
Gambar utama: Teknomy
Sumber: MacRumors