Asus ROG hari ini telah mengumumkan ROG Masters Asia eSports tournament iaitu sebuah kejohanan Asia Pasifik yang akan bermula pada Mac hingga April 2021.
Kejohanan ini menampilkan permainan Counter Strike: Global Offensive (CS:GO) sebagai permainan rasmi yang akan memberikan pasukan profesional dan juga peminat permainan ini untuk bertanding.
Disebabkan pandemik COVID-19, kejohanan ini akan diadakan secara dalam talian dimana peringkat suku akhir sehingga peringkat akhir akan disiarkan secara langsung dalam talian.
Tiga peringkat yang akan dilalui oleh pasukan yang turut serta iaitu:
- Pusingan kelayakan negara
- Peringkat akhir negara
- Peringkat akhir Asia Pasifik
Pusingan kelayakan di Malaysia akan berlangsung pada minggu pertama April dan pusingan akhir pula akan disiarkan secara dalam talian di Facebook dan YouTube rasmi Asus ROG Malaysia pada 4 April 2021.
Bagi pasukan profesional, mereka akan secara automatik berada di peringkat akhir dan dengan ini memberikan peluang kepada pasukan lain untuk berentap dan mewakili negara ke peringkat Asia.
Sementara peringkat akhir bagi kejohanan ini akan berlangsung pada minggu keempat bulan April.
Tambahan lagi, johan dalam peringkat akhir di Malaysia akan menerima wang tunai sebanyak USD800 dan tempat kedua pula adalah USD400 serta beberapa hadiah lain daripada ROG.
Manakala bagi kejohanan peringkat Asia Pasifik kelak akan menawarkan hadiah wang tunai sehingga USD10,000 untuk tempat pertama.
Sekiranya anda peminat CS:GO atau ingin mempamerkan kemahiran dalam permainan ini, anda boleh membuat pendaftaran di pautan ini. Pendaftaran akan dibuka pada 8 Februari dan akan ditutup pada 28 Februari 2021.