Hasil tinjauan penerimaan atau penolakan vaksin COVID-19 yang dijalankan oleh Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), didapati lebih dari separuh responden bersetuju untuk menerima vaksin COVID-19.

Menurut KKM, seramai 212,006 rakyat Malaysia telah menyertai Tinjauan Vaksin: Terima Atau Tolak? yang telah dijalankan secara atas talian dari 21 hingga 28 Disember 2020 lalu.

Dari jumlah itu, sebanyak 67% atau bersamaan dengan 142,044 responden menyatakan setuju terima vaksin COVID-19.
Namun begitu sebanyak 17% responden menyatakan Tidak Pasti dan 16% lagi pula Tidak Bersetuju untuk menerima vaksin COVID-19.
Sehubungan itu KKM memaklumkan bahawa mereka memahami kerisauan dan kebimbangan mengenai isu keselamatan, keberkesanan dan kes sampingan vaksin COVID-19.
Justeru KKM akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk menyalurkan informasi yang tepat dan telus kepada orang ramai tentang vaksin tersebut.
Sumber: KKM