Tahun 2020 merupakan tahun yang mencabar bagi semua orang disebabkan pandemik global COVID-19. Namun, dalam arena teknologi, banyak jenama yang tiada masalah dalam mengeluarkan telefon pintar mereka tidak kira segmen permulaan sehinggalah andalan.

Sebelum tahun 2020 melabuhkan tirainya, kami menyenaraikan lima telefon andalan yang anda boleh miliki pada tahun ini dengan harga yang mampu milik. Menerusi senarai ini, kami memfokuskan kepada cip pemproses yang tertinggi yang ditawarkan dalam setiap telefon.

Selain prestasi cemerlang yang anda boleh nikmati, ia juga tidak ‘mengoyakkan’ dompet anda kerana harganya yang murah.

Xiaomi Mi 10T Pro – RM1999 (8GB/256GB)

Xiaomi Mi 10T Pro boleh dikatakan sebagai flagship killer bagi tahun 2020. Ini kerana ia merupakan telefon pintar dengan cip pemproses Snapdragon 865 paling murah iaitu bawah RM2000.

Spesifikasi:

  • Snapdragon 865
  • RAM 8GB dengan storan 256GB
  • Skrin 6.67-inci (IPS) dengan kadar segar semula 144Hz
  • Kamera utama 108MP, 13MP ultra lebar, 5MP makro
  • Kamera hadapan 20MP
  • Bateri 5000mAh (pengecasan pantas 33W)

Melihat pada spesifikasinya, sememangnya Mi 10T Pro memenuhi kehendak pengguna yang mahukan telefon dengan prestasi yang baik. Selain cip pemproses, kadar segar semula yang ditawarkan juga adalah setanding yang ada pada ASUS ROG Phone 3 dimana telefon ini mencecah RM3000.

Namun, terdapat kekurangan pada telefon ini dimana ia hanya menggunakan panel IPS. Akan tetapi, Xiaomi mengatakan panel IPS yang digunakan adalah lebih baik berbanding iPhone 11. Malah, tahap kecerahan telefon ini juga mencapai sehingga 650 nits.

iPhone SE (2020) – RM1999 (3GB/64GB)

Jika kita sebut nama Apple, pasti kita fikir telefon mereka ini tidak mampu dimiliki kerana harganya yang mahal. Namun, iPhone SE (2020) yang dilancarkan April lalu mungkin dapat mengubah fikiran anda.

Spesifikasi:

  • Apple A13 Bionic
  • RAM 3GB dengan storan 64GB
  • Skrin 4.7-inci (IPS)
  • Kamera utama 12MP
  • Kamera hadapan 7MP

Spesifikasi yang terbina dalam iPhone SE (2020) adalah sama yang ada pada iPhone 11 tetapi harganya jauh lebih murah. Rekaannya pula sama dengan iPhone 8.

Tambahan lagi, ia masih mengekalkan pengimbas cap jari yang tidak ada pada mana-mana iPhone model baharu. Malah, saiznya juga sesuai bagi penggemar telefon kompak.

Terdapat kekurangan bagi iPhone SE (2020) iaitu baterinya yang sangat kecil dan tidak relevan untuk tahun 2020 akan tetapi ia masih sebuah telefon andalan yang berbaloi untuk dimiliki.

Poco F2 Pro – RM2299 (8GB/256GB)

Pada tahun 2018, POCO mengejutkan arena telefon pintar dengan POCO F1 yang membawa spesifikasi andalan tetapi harga bawah RM1500. Kemudian, tahun ini POCO kembali dengan F2 Pro pula.

Spesifikasi:

  • Snapdragon 865
  • RAM 8GB dengan storan 256GB
  • Skrin 6.67-inci (Super AMOLED)
  • Kamera utama 68MP, 13MP ultra lebar, 2MP depth
  • Kamera hadapan 20MP
  • Bateri 4700mAh (pengecasan pantas 30W)

Sekiranya anda mahukan telefon dengan cip Snapdragon 865 dengan paparan AMOLED, POCO F2 Pro berbaloi untuk dibeli. Dengan skrin rata serta paparan AMOLED, ia mampu memberikan kepuasan ketika anda menggunakannya walaupun kadar segar semula hanya 60Hz.

OnePlus 7T Pro- RM2469 (8GB/256GB)

OnePlus 7T Pro adalah sebuah telefon yang dilancarkan pada tahun lalu tetapi spesifikasi dan ciri-ciri yang terdapat pada telefon ini memberikan hampir kesemua telefon andalan yang dilancarkan tahun ini.

Spesifikasi:

  • Snapdragon 855+
  • RAM 8GB dengan storan 256GB
  • Skrin 6.67-inci (Fluid AMOLED) dengan kadar segar semula 90Hz
  • Kamera utama 48MP, 16MP ultra lebar, 8MP telefoto
  • Kamera hadapan 16MP
  • Bateri 4085mAh (pengecasan pantas 30W)

Keistimewaan yang ada pada telefon ini semestinya paparan fluid AMOLED beresolusi QuadHD dimana paparannya sangat cantik dan masih boleh dilihat dengan jelas walaupun di bawah sinaran matahari yang terik.

Malah, kadar segar semula yang ditawarkan juga adalah 90Hz. Tambahan lagi, prestasi Snapdragon 855+ tidak jauh beza dengan Snapdragon 865. Namun, mungkin terdapat beberapa individu tidak berminat dengan telefon ini kerana skrin melengkungnya. Walau bagaimanapun, ia adalah subjektif bagi setiap individu yang menggunakannya.

realme X3 Superzoom – RM2299 (12GB/256GB)

realme sering dikaitkan dengan penawaran telefon kelas permulaan dan juga kelas pertengahan. Sebenarnya, mereka masih mempunyai telefon berkelas andalan dan pada tahun lalu realme X2 Pro dilancarkan. Tahun ini pula, mereka hadir dengan realme X3 Superzoom.

Spesifikasi:

  • Snapdragon 855+
  • RAM 12GB dengan storan 256GB
  • Skrin 6.6-inci (IPS) dengan kadar segar semula 120Hz
  • Kamera utama 64MP, 8MP ultra lebar, 2MP makro, 8MP telefoto periskop
  • Kamera hadapan 32MP, 8MP ultra-lebar
  • Bateri 4200mAh (pengecasan pantas 30W)

Walaupun ia dijana cip pemproses Snapdragon 855+, realme menggunakan teknologi zum periskop pertama dalam mana-mana telefon mereka. Ia mampu memberikan zum sehingga 60x.

Selain itu, spesifikasi telefon ini tidak jauh beza dengan realme X2 Pro. Perbezaannya terletak pada kadar segar semulanya iaitu 120Hz tetapi ia menggunakan panel IPS.

Sekiranya anda mahukan kamera swafoto ultra-lebar yang memudahkan untuk mengambil gambar kumpulan atau anda suka dengan ciri super zum, telefon ini berbaloi untuk anda miliki pada tahun 2020.

**Harga yang tertera adalah harga semasa ketika artikel ini ditulis dan mungkin berubah dari semasa ke semasa.