Awal tahun ini, Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengenal pasti band spektrum 700MHz, 3.5GHz, dan 26/28GHz yang akan digunakan untuk frekuensi rangkaian 5G. Untuk rangkaian 700MHz dan 3.5GHz, sebelum ini telah diumumkan bahawa pengagihan frekuensi tersebut akan dilakukan secara bidaan untuk mana-mana syarikat telekomunikasi yang berminat.
Namun, baru-baru ini secara mengejut, tiada bidaan yang dilakukan sebaliknya ia telah diagihkan kepada 5 syarikat telekomunikasi untuk band 700Mhz. Menurut laporan dari Malaysian Wireless. Pengagihan ini merupakan arahan dari Kementerian Komunikasi Dan Multimedia (KKMM) yang diberikan kepada syarikat-syarikat tersebut:
- Digi: 703MHz – 713MHz dengan 758MHz – 768MHz (Jumlah 20Mhz)
- Altel: 713MHz – 718MHz dengan 768MHz – 773MHz (Jumlah 10Mhz)
- Telekom Malaysia: 718MHz – 723MHz dengan 773MHz – 778MHz (Jumlah 10Mhz)
- Celcom Axiata: 723MHz – 733MHz dengan 778MHz – 788MHz (Jumlah 20Mhz)
- Maxis Broadband: 733MHz – 743MHz dengan 788MHz – 798MHz (Jumlah 20Mhz)
Selain dari itu, Altel juga diperuntukkan tambahan 10Mhz frekuensi oleh KKMM iaitu 880MHz – 885MHz dengan 925Mhz – 930MHz. Apa yang menarik tentang pengagihan ini adalah syarikat utama lain seperti U Mobile ataupun Tune Talk tidak menerima sebarang band spektrum.
Dengan pengagihan spektrum 5G kepada syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan ini, janji MCMC untuk mengkomersilkan rangkaian 5G kepada pengguna awam pada suku ketiga tahun ini mungkin akan lebih cepat untuk menjadi realiti.
Sumber: Malaysian Wireless