NVIDIA adalah sebuah syarikat pembuat kad grafik yang ternama di dunia. Hingga kini, boleh dikatakan berpuluh-puluh dan pelbagai siri kad grafik telah diperkenalkan mereka kepada dunia.
Walau bagaimanapun, seperti Microsoft dalam OS Windows mereka, NVIDIA juga tidak lari daripada menghasilkan kad grafik yang mempunyai prestasi terburuk berbanding yang lain.
Dalam artikel ini, saya akan berkongsikan kepada pembaca 5 kad grafik NVIDIA paling gagal yang pernah dihasilkan.
{snap}
NVIDIA GeForce GTX 480
NVIDIA GeForce GTX 480 ini boleh saya simpulkan seperti ‘anak kecil main api di dalamnya’ dek kerana kecekapan penggunaan kuasanya yang tercorot dan cepat panas.
Dalam pengujian, GPU ini memerlukan kuasa seperti sebuah sistem dwi kad grafik dan suhunya boleh mencecah hingga 94°C dalam game biasa.
Seperti gambar di atas, rekaannya juga tampak seperti jaring pemanggang makanan, seperti itulah GPU ini memanggang sistem PC penggunanya.
Dek kerana prestasinya yang mengecewakan, NVIDIA telah menamatkan siri GTX 400 lebih kurang 8 bulan selepas pelancarannya dengan memperkenalkan siri GTX 500.
{snap}
NVIDIA GeForce GTX 970
Ketika GPU ini diperkenalkan, ia mendapat sambutan yang baik melalui harganya yang mampu milik dan sangat cekap tenaga tetapi ada satu perkara yang mengecewakan.
GPU ini menawarkan 4GB memori GDDR5 VRAM tetapi sebenarnya hanya 3.5GB sahaja yang benar-benar praktikal pada kelajuan penuh.
Baki setengah GB memori itu dikatakan lebih perlahan daripada memori DDR3. Oleh itu, ramai mendakwa GTX 970 ini adalah GPU 3.5GB berbanding 4GB yang dinyatakan NVIDIA.
Akibatnya, NVIDIA telah didakwa dan perlu membayar USD30 (~RM135.00) kepada setiap seorang pemilik GPU ini. Mengikut Anandtech, baki setengah GB VRAM itu boleh dikatakan begitu teruk seolah-olah tidak wujud langsung.
{snap}
NVIDIA GeForce GTX 1060 3GB
Selepas GTX 970, GPU ini juga salah satu bukti bagaimana NVIDIA telah mengecewakan ramai pengguna dan pemilik mereka. GPU ini adalah variasi bajet kepada GTX 1060 yang mempunyai 6GB VRAM.
Namun, NVIDIA begitu licik kerana telah mengurangkan bilangan teras CUDA nya tetapi, sebenarnya orang ramai tidaklah begitu peduli pun akan perkara tersebut. Walau bagaimanapun, GTX 1060 3GB adalah pelopor kepada banyak variasi GPU dengan bilangan VRAM dan teras yang sikit.
Dan trend ini telah mengelirukan ramai sangat orang dan begitu menyusahkan. Hal ini demikian kerana bilangan teras adalah faktor utama yang membezakan jenis GPU dan saiz VRAM hanyalah faktor kedua sahaja dibelakang teras.
{snap}
NVIDIA GeForce RTX 2080
Kad grafik RTX 2080 adalah antara GPU terawal ketika siri RTX 2000 diperkenalkan bersama dengan teknologi pemprosesan ray tracing. Tetapi NVIDIA terlalu bongkak dengan menjualnya pada harga yang tidak masuk akal mahalnya.
Harga USD800 (~RM3599.00) pada ketika itu terlalu tinggi buat pasaran GPU dan NVIDIA beranggapan ianya relevan dek kehadiran ciri ray tracing dan DLSS mereka.
Masalahnya, tiada sebarang games yang sokong teknologi tersebut pada ketika ia dilancarkan mahupun dalam masa beberapan bulan ke hadapan.
Biarpun teknologi tersebut dapat digunakan, pemain tidak dapat merasai pengalaman permainan sebenar dek kerana ia masih belum cukup matang lagi.
{snap}
NVIDIA GeForce RTX 3080 12GB
RTX 3080 12GB adalah contoh GPU dengan bilangan teras dan VRAM yang optimum tetapi lahir pada waktu yang salah. NVIDIA memperkenalkan kad grafik ini ketika krisis kekurangan GPU pada tahun 2020 hingga 2022.
Malangnya, NVIDIA secara melulu telah meletakkan harga runcit yang melampau tingginya antara USD1,250 (~RM5,600.00 ) dan USD1,600 (~RM7,200.00).
Selain perbezaan VRAM yang tidak ketara, variasi 12GB hanya mempunyai 3% sahaja penambahan bilangan teras berbanding 10GB. Dan variasi 10GB pula dijual pada harga USD300 (~RM1,350.00) ke USD400 (~RM1,800.00) jauh lebih murah daripada variasi 12GB.
Tambahan lagi, kehadiran model RTX 3080 Ti mengeruhkan lagi keadaan variasi 12GB ini. 3080 Ti menawarkan prestasi yang jauh lebih hebat, bilangan teras 14% lebih banyak dan dijual pada harga purata yang lebih murah.
Oleh itu, ini membuatkan GeForce RTX 3080 12GB sebuah kad grafik yang wujud tanpa sebarang tujuan, harga tidak relevan dan mungkin tiada sebarang masalah sekalipun sekiranya ia tidak pernah hadir .
Sumber: digitaltrends
Gambar utama: TechRadar