Penyelidik keselamatan dari Kaspersky dengan kerjasama Yandex melaporkan bahawa mereka mengsesan manipulasi aktiviti meragukan ke atas lebih daripada 20 extension yang dibangunkan untuk pelayar Chrome.

Dari jumlah itu, Kaspersky menyenaraikan 3 extension paling popular yang digunakan oleh lebih daripada 8 juta pengguna iaitu extension Frigate Light, Frigate CDN dan SaveFrom.

Setakat artikel ini di tulis, semakan penulis ke atas ketiga-tiga extension tersebut mendapati ia masih ditawarkan dalam laman Chrome Web Store.

Kaspersky menjelaskan, extension-extension tersebut dikesan cuba memuat turun kod meragukan dengan mengakses pelayan yang dikawal disebalik tabir tanpa disedari penggunanya.

Kaspersky mendakwa, penyerang menjadikan extension tersebut bagi memainkan video tanpa disedari pengguna dengan tujuan mencipta trafik ke atas video tersebut.

Pemain video itu pula hanya akan diaktifkan apabila pengguna sedang melakukan pelayaran internet menggunakan pelayar Chrome.

Menurut Kaspersky lagi terdapat laporan pengguna Chrome yang mendengar audio dari pemain video yang tidak kelihatan ketika mereka sedang melayari internet.

Malah pengguna juga merasai prestasi komputer mereka menjadi sangat perlahan dari kebiasaan ketika menggunakan Chrome berbanding sebelumnya.

Oleh itu, penyelidik Kaspersky mengsyorkan supaya pengguna Chrome membuang extension yang dinyatakan dari pelayar mereka dengan segera.

Sumber: Kaspersky