Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan mereka akan mengadakan lawatan ke Kampung Sawai, Matu di Sarawak pada hari Sabtu (3 Julai 2021) bagi mendapatkan gambaran sebenar serta mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh penduduk di situ.

SKMM menyatakan, pembinaan menara komunikasi telah dirancang di kawasan Muara Sawai, Matu di bawah JENDELA Fasa 1.

Pembinaan menara tersebut melengkapi menara komunikasi sedia ada yang telah beroperasi meliputi sembilan menara komunikasi komersial serta tujuh menara komunikasi yang telah dibina di bawah program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) kelolaan SKMM di daerah Matu.

Selain itu, sebanyak 20 stesen pemancar komunikasi sedia ada di daerah Matu kini dalam proses naik taraf kepada perkhidmatan 4G. Kerja-kerja menaik taraf stesen pemancar itu dijangka akan selesai menjelang penghujung tahun 2021 nanti.

Bagi perancangan jangka panjang di bawah pelan JENDELA Fasa 1 pula, sebanyak sembilan menara komunikasi baharu secara keseluruhan telah dirancang yang akan dibina di sekitar daerah Matu termasuk satu di kawasan Muara Sawai, seperti yang dinyatakan di atas.

Pembinaan kesemua menara komunikasi berkenaan dijangka bermula pada suku ketiga 2021, setelah proses penilaian tender dimuktamadkan oleh SKMM.

Selain itu, perkhidmatan jalur lebar mudah alih melalui satelit juga telah dikenal pasti bagi kawasan Muara Sawai dan kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada suku ketiga 2021.

Sumber: SKMM